Ahad, 8 Februari 2009

ZINA!!!! Mesti Baca!!!!!!



DIALOG ANTARA USTAZ DAN PELAJAR YANG DITANGKAP KHALWAT

Keterangan: Ikuti dialog oleh satu pasangan yang sedang berkhalwat
tertangkap oleh seorang ustaz. Hayatilah intisari dialog ini, dan
muhasabahlah diri kita masing-masing.

Pelajar: Kami tidak berzina!

Ustaz: Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Pelajar: Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya khabar,
minum-minum adakah itu menghampiri zina?

Ustaz: Ya, perbuatan ini menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.

Pelajar: Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.

Ustaz: Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya.
Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu.
Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat
berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu nenek
moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula lupa. Siapalah
kita berbanding Adam dan Hawa? Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan
Rasulullah S.A.W.: "Janganlah engkau bersendirian dengan seorang
wanita kecuali ketiganya adalah syaitan." (Riwayat Tabrani). Syaitan
akan menghembus perasaan berahi, kita lemah untuk menghadapi tipu daya
iblis.

Pelajar: Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada
penzinaan. Ada orang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak
pernah bersua muka pun.

Ustaz: Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan
menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan
pasti bergelora. Lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan
iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak
akan terhenti di situ sahaja, percayalah, ia akan berlanjutan dan
berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada penzinaan akhirnya?

Pelajar: Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu zina juga ke?

Ustaz: Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul,
ada zina tangan (berpegang-pegangan ), ada zina mata (melihat
kekasihnya dengan perasaan berahi). Melihat auratnya juga zina mata.
Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang
dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W.: "Kedua-dua tangan juga berzina dan
zinanya adalah menyentuh. Kedua kakinya juga berzina dan zinanya
adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan
zinanya ialah ciuman." (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan
lorong menuju kepada penzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita
berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa
kepada penzinaan.

Pelajar: Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran
sahaja!

Ustaz: Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa
yang terselit dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan.
Kalau cemerlang sekali pun, kalau tak diberkati Allah, kejayaan tidak
akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebihlah lagi.
Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada
orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan
Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan
ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atiq?

Pelajar: Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.

Ustaz: Study group? nampak macam lain macam saja. Manja, senyum
memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua
sahaja? Ke mana-mana pun berdua. Kalau ye pun carilah study group
ramai-ramai sedikit. Kalau duduk berdua-dua macam ini.. betul ke
bicang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang
lain tu banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Pelajar: Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.

Ustaz: Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak perasan
apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada
nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu,
ada keinginan. Itulah manusia.

Pelajar: Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat
dan motivasi.

Ustaz: Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar?
Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan
hina kaum sejenis. Ingat banyak orang cemerlang yang belajar hanya
dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat
berkat dan rahmat pula.

Pelajar: Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam islam
untuk bercinta? Adakah islam membunuh terus naluri cinta?

Ustaz: Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian
manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of
belonging) adalah fitrah. Kalau naluri tidak wujud pada diri
seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang untuk membunuh
naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan
nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah
dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah
fitrah. Maka tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah.
Jadilah manusia yang sihat pada nalurinya. Jangan jadi malaikat!
kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya
akan hambar tanpa naluri nafsu.

Pelajar: Tentu ada cinta secara Islam.

Ustaz: Cinta secara islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku
setelah ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus.
Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama
kita, Islam. Apabila Islam melarang cinta antara lelaki dan wanita
sebelum kahwin, ia membawa kepada sesuatu sebagai ganti yang lebih
baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Tidak ada yang lebih
patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah." (Ibni
Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.

Pelajar: Kalau begitu, cinta semua menghampiri kepada penzinaan?

Ustaz: Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut
terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian
aturkan pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat
sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan
makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi
macam kawan, sekarang macam pengantin baru. Bukankah mereka semakin
hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah
penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang
melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda seekor nyamuk
sekalipun!

Pelajar: Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak
sampai berzina. Kami tahan diuji.

Ustaz: Allah menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan
manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu, Allah memerintahkan
supaya diri menjauhi perkara yang ditegah. Takut manusia kecundang.

Pelajar: Jadi manusia itu tak tahan diuji?

Ustaz: Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak awal
penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka
tidak tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu
peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya
jangan makan buah Khuldi dalam syurga. Allah tahu kelemahan pada
ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu, Allah berpesan pada Adam
dan Hawa, jangan hampiri pokok Khuldi. Firman Allah S.W.T.: "Wahai
Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah
dari makanannya sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu berdua sukai dan
jangan hampiri pokok ini, (Jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim." (Al-A'araf:ayat 19).
Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah Khuldi. Tetapi Allah tahu
sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara yang
ditegah, takut nanti mereka akan memakannya kerana mereka tidak dapat
mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah zina. Maka jalan ke
arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan
penzinaan, kedua-duanya kecundang. Cukuplah kita belajar daripada
pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Pelajar: Tetapi cinta lepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal
pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi
pasangan sebelum membuat keputusan sebelum berkahwin.

Ustaz: Boleh percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta
penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing
akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah
dan pelbagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa
bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan haraplah lepas kahwin
bila merajuk ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu
dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai jauh berbeza.
Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang,
sabar tunggu pasangan terlambat berjam-jam. Tapi bila dah kahwin lewat
5 minit dah kene tengking. Jadi, perwatakan masa bercinta adalah suatu
kepuraan yang hipokrit.

Pelajar: Percayalah kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.

Ustaz: Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah?
Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih.
Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang
kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat
anugerah kebahagiaan itu jika jalan mencapainya tidak diredhai Allah.
Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul.
Sudah tentu prosesnya bukan cinta sebegini. Allah tidak meredhai
percintaan ini. Cinta yang diredhai, cinta selepas kahwin. Bagaimana
untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah memulakannya pun
sudah canggung. Bagaimana kesudahannya?

Pelajar: Tanya sikit adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke?
Ganti bercinta.

Ustaz: Semua itu adalah perangkap syaitan. Hakikatnya sama. Cinta yang
diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tapi isinya sama. Adik,
abang, kakak angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan.
Manusia yang terlibat dalam budaya "angkat" ini sebenarnya telah masuk
ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan.

Pelajar: Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?

Ustaz: Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh
Pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang
sedang mabuk bercinta mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan
apa-apa maruah dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri, tidak
mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin akan mengatakan orang yang
bercinta sudah tidak bermaruah. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang
belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran maruah atau tidak
ditentukan oleh Allah.

Pelajar: Adakah orang yang bercinta hilang maruah?

Ustaz: Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang
bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka sedang
menghampiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina
tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga.
Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah
berfirman: "Lelaki yang berzina(lazimnya) tidak ingin berkahwin
melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan
perempuan yang berzina itu pula(lazimnya) tidak ingin berkahwin
dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik.Dan
perkahwinan yang demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman."
(Surah an-Nur:Ayat3) . Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak
sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta.
Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan.

Pelajar: Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang
pernah bercinta?

Ustaz: Itulah pasangan yang layak untuk dirinya kerana wanita yang
baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang
baik.

Pelajar: Kami telah berjanji untuk sehidup semati.

Ustaz: Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta
yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya
menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah
itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Pelajar: Masihkah ada orang yang tidak bercinta pada zaman ini?

Ustaz: Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini sentiasa
ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari
nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah S.W.T.: "Dan orang-orang
lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang
memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan
zina) Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan
pahala yang besar." (Al-Ahzab:ayat 35).

Pelajar: Bagaimana kami?

Ustaz: Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha.
Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan
kekuatan untuk mendapat redhaNya.

Pelajar: Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat
nasuha.

Ustaz: Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang
memenuhi 3 syarat:
1.Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak
diredhai Allah ini.
2.Menyesal. Menginsafi diri atas tindak tanduk hidup yang menjurus
diri dalam percintaan.
3.Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan
sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami.
Saatnya adalah setelah ijab Kabul.

Pelajar: Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa
hambamu ini. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima
Taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan
ini. Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah
diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau
jagaku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasihku
kepada orang lain. Oh tuhan, hambamu yang berdosa. Amin, Ya Rabb.

Ustaz: Moga Allah terima taubatmu.

Pelajar: Kita berpisah kerana Allah, kalau ada jodoh tidak ke mana.

Ustaz: Ya Allah, bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintuMu,
mencari redhaMu, terimalah taubat mereka.

Dipetik daripada Kalam Ukhwah,
Syukbah Penerbitan dan Risalah Surau Perdana,
Kolej Matrikulasi Melaka

Tiada ulasan:

.